Kemajuan teknologi menyaksikan Internet bukan sahaja sebagai medium untuk memperoleh maklumat, malah berkembang kepada media sosial yang mempunyai kemampuan yang lebih hebat hasil gabungan tiga elemen utama iaitu teknologi, perbualan dan perkongsian maklumat. Ianya juga boleh diklasifikasikan sebagai sebuah media atas talian yang menggunakan jaringan internet dengan para penggunanya boleh berinteraksi dengan mudah, berkongsi idea dan merekacipta isi merangkumi blog, jaringan sosial, wikipedia, forum dan dunia virtual.
Media ini juga mampu mengirimkan kandungan multimedia dan kemudahan interaksi antara khalayak dengan pengeluar kandungan. Pembangunan teknologi digital dan aplikasi penciptaan serta perkongsian kandungan ini merupakan salah satu elemen penting pada media sosial. Laman-laman sosial seperti penanda sosial (Simpy), berita sosial (Digg, Reddit), wikis (Wikipedia), laman jaringan sosial (Facebook) dan perkongsian gambar dan video (Flickr, Youtube) membolehkan penggunanya berinteraksi dengan laman tersebut dan pengunjung lain.
Bagi Kaplan dan Haenlein, media sosial dilihat sebagai ‘sekumpulan aplikasi berasaskan Internet yang dibina berdasarkan asas ideologi dan teknologi Web 2.0 dan membolehkan penciptaan dan pertukaran Kandungan Berjanakan Pengguna (User Generated Content – UGC)’. Web 2.0 merupakan terminologi yang pertama kali digunakan pada tahun 2004 bagi menggambarkan pembangunan web generasi kedua yang merujuk kepada sekumpulan aplikasi berpusatkan pembangunan komuniti dalam talian yang berdasarkan darjah interaktiviti, inklusif, kolaborasi, bahan tulen dan kemahiran literasi digital yang lebih tinggi.
UCG pula dilihat sebagai cara orang ramai menggunakan media sosial, iaitu bagi menggambarkan pelbagai bentuk kandungan media yang secara umumnya tersedia dan dicipta oleh pengguna akhir. Menurut Organisation for Economis Cooperation and Development (OECD,2007), UCG perlu memenuhi tiga keperluan asas iaitu yang pertama perlu diterbitkan sama ada di laman web yang boleh diakses awam atau di laman rangkaian sosial yang dicapai oleh kumpulan yang dipilih orang. Kedua, menunjukkan sejumlah usaha kreatif dan akhir sekali dihasilkan di luar rutin dan amalan profesional.
Media ini sentiasa berubah dan terdapat dalam pelbagai jenis. Pengklasifikasiannya boleh dilakukan berdasarkan satu set teori dalam penyelidikan media (kehadiran sosial dan kekayaan media) dan proses sosial (presentasi diri dan pendedahan diri).Teori kehadiran sosial menyatakan bahawa media yang berbeza membawa kadar atau darjah yang berlainan dalam sesuatu interaksi. Ini biasanya dipengaruhi oleh keakrabatan (intimacy) dan kedekatan (immediacy) sesuatu medium. Semakin tinggi kehadiran sosial, semakin besar pengaruh sosial rakan komunikasi terhadap perlakuan yang lain.
Ini berkaitan juga dengan teori kekayaan media yang berdasarkan andaian bahawa matlamat apa-apa komunikasi ialah penyelesaian kepada ambiguity dan mengurangkan ketidakpastian. Teori ini menyatakan bahawa media berbeza dalam darjah kekayaan yang dimiliki iaitu jumlah maklumat yang dibenarkan untuk dipindahkan dalam tempoh tertentu dan oleh sebab itu, ada media yang lebih efektif berbanding yang lain dalam penyelesaian kekaburan dan ketidakpastian.
Jika dalam kehidupan seharian kita tidak boleh menyampaikan pendapat secara terbuka melalui media sosial. Kita boleh menulis apa saja yang kita mahu atau kita tidak mengulas apapun yang ditulis atau disediakan oleh orang lain. Ini bererti, komunikasi terjalin melalui dua arah. Komunikasi ini kemudian mencipta komuniti dengan cepat kerana adanya minat yang sama mengenai sesuatu perkara. Akan tetapi, segala penyebaran pendapat perlu menepati etika penggunaan media sosial yang betul.