1.Kesahihan
Maklumat
Maklumat yang tepat dan sahih penting bagi
memastikan tidak akan berlakunya pemalsuan fakta. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, para pengguna internet berpendapat bahawa semua maklumat yang diterima
harus dipastikan dahulu kebenarannya. Hal ini berikutan kerana banyak
maklumat yang dipaparkan di dalam media sosial tidak benar dan hanya untuk
tujuan publisiti sahaja. Selain itu, ada antara maklumat yang disampaikan oleh
seseorang individu itu hanya bertujuan untuk menyesatkan orang lain. Pengguna media sosial menyatakan bahawa kebanyakan aktiviti, misalnya amalan sesat disebarkan melalui
media sosial. Perkara ini kebiasaannya mudah mempengaruhi golongan belia kerana kurangnya pendedahan kepada ilmu yang berkaitan dengan keagamaan. Ianya secara tidak langsung memberikan cabaran yang
amat besar dalam proses penyebaran maklumat melalui media sosial ini.
2.Pelayaran Web Negatif
Golongan belia gemar dan minat untuk
melayari laman-laman web yang berunsur negatif. Hal ini memberikan cabaran yang
amat besar terutama sekali kepada pihak kerajaan kerana golongan belia merupakan
golongan yang akan mewarisi dan mengambil alih pembangunan negara. Pelayaran
web negatif ini akan merencatkan perkembangan minda dan fizikal belia. Golongan belia sering terjebak dan dipengaruhi
rakan sebaya mereka untuk menonton video-video atau gambar lucah yang banyak
tersebar di laman web. Apabila menonton atau melihat web yang berunsur negatif
ini, golongan belia akan terpengaruh dan secara tidak langsung akan
mengadaptasikannya ke alam realiti. Oleh itu, gejala sosial seperti merogol dan
meragut semakin giat berlaku. Tambahan lagi, ketaksuban terhadap laman web
negatif ini akan menyebabkan kejatuhan akhlak, keruntuhan maruah, nilai
keprihatinan dan lebih terdorong kepada jenayah seksualiti. Laman web lucah
yang mudah diakses oleh semua golongan terutamanya golongan remaja dan belia. Dengan
itu, hal ini merupakan salah satu cabaran dalam media sosial kini.
3.Penyebaran Fitnah dan Gosip Terhadap Sesuatu Barangan Dan Perkhidmatan
Melalui media sosial, fitnah dan gosip
bertebaran meluas tanpa sempadan. Perkara ini menjadikan sukar untuk negara
menghasilkan golongan belia yang proaktif.Responden turut menyatakan bahawa
media sosial banyak digunakan sebagai satu medium untuk menyebarkan fitnah dan
gosip berkenaan negara dan sebagainya.Kebanyakan belia mudah terpengaruh dengan
perkara seperti ini. Misalnya seperti fitnah berkenaan dengan penggunaan produk-produk yang tidak halal dan sebagainya dan ianya secara tidak langsung akan memberikan kesan terhadap permintaan barangan tersebut di pasaran.
4.Aktiviti Perjudian
Aktiviti perjudian ini sangat mudah untuk
mempengaruhi golongan belia. Berdasarkan temu bual, golongan belia gemar
mengunjungi pusat-pusat Internet yang menyediakan pelbagai perkhidmatan
penggunaan Internet. Namun begitu, ada antara pusat Internet yang
menyalahgunakan premis mereka dengan menawarkan pusat perjudian kepada
pengunjung. Permainan video yang beasaskan judi banyak disediakan dan perkara
ini menarik minat remaja dan belia untuk menggunakan perkhidmatan tersebut. Perkara
ini sedikit sebanyak memberi cabaran kepada golongan belia kerana sudah terang-
terangan lagi judi adalah suatu perbuatan yang salah dan haram. Perkara ini
memberikan cabaran kepada pemimpin negara dalam mentadbir negara serta
membanteras gejala judi dalam kalangan belia.
5.Perubahan Gaya Hidup
Perubahan gaya hidup ketimuran masyarakat telah banyak berubah ditelan
arus pemodenan. Perubahan gaya seperti cara pemakaian, makanan, minuman,
tingkah laku dan hiburan yang berunsur Barat telah banyak mempengaruhi aspek-
aspek ketimuran masyarakat Malaysia yang dipegang. Sesetengah pihak berpendapat
media sosial telah membuatkan remaja melupakan asal usul keturunan mereka.
Misalnya cara mereka menulis. Golongan belia kini sering menggunakan perkataan
atau bahasa yang direka oleh mereka sendiri seperti perkataan “bocan”
menggantikan perkataan bosan dan lain-lain lagi. Di samping itu, golongan belia
juga menggunakan media sosial sebagai alat untuk mereka berkomunikasi dan
mencari rakan baru di laman-laman web sosial yang ada seperti Facebook, Twitter
dan MySpace. Hal ini membuatkan golongan remaja kurang berinteraksi dengan
masyarakat dan lebih suka bersendiri. Malahan ada di antaranya yang terpengaruh
sehingga membuatkan mereka terlibat dengan gejala tidak sihat seperti menjadi
mangsa keldai dadah. Justeru itu, perkara ini menjadi suatu cabaran untuk
mewujudkan kesedaran sosial dalam kalangan remaja.
0 comments:
Post a Comment