Pages

Tuesday, December 15, 2015

APAKAH MEDIA SOSIAL?

                Kemajuan teknologi menyaksikan Internet bukan sahaja sebagai medium untuk memperoleh maklumat, malah berkembang kepada media sosial yang mempunyai kemampuan yang lebih hebat hasil gabungan tiga elemen utama iaitu teknologi, perbualan dan perkongsian maklumat. Ianya juga boleh diklasifikasikan sebagai sebuah media atas talian yang menggunakan jaringan internet dengan para penggunanya boleh berinteraksi dengan mudah, berkongsi idea dan merekacipta isi merangkumi blog, jaringan sosial, wikipedia, forum dan dunia virtual.
Media ini juga mampu mengirimkan kandungan multimedia dan kemudahan interaksi antara khalayak dengan pengeluar kandungan. Pembangunan teknologi digital dan aplikasi penciptaan serta perkongsian kandungan ini merupakan salah satu elemen penting pada media sosial. Laman-laman sosial seperti penanda sosial (Simpy), berita sosial (Digg, Reddit), wikis (Wikipedia), laman jaringan sosial (Facebook) dan perkongsian gambar dan video (Flickr, Youtube) membolehkan penggunanya berinteraksi dengan laman tersebut dan pengunjung lain.
Bagi Kaplan dan Haenlein, media sosial dilihat sebagai ‘sekumpulan aplikasi berasaskan Internet yang dibina berdasarkan asas ideologi dan teknologi Web 2.0 dan membolehkan penciptaan dan pertukaran Kandungan Berjanakan Pengguna (User Generated Content – UGC)’. Web 2.0 merupakan terminologi yang pertama kali digunakan pada tahun 2004 bagi menggambarkan pembangunan web generasi kedua yang merujuk kepada sekumpulan aplikasi berpusatkan pembangunan komuniti dalam talian yang berdasarkan darjah interaktiviti, inklusif, kolaborasi, bahan tulen dan kemahiran literasi digital yang lebih tinggi.
UCG pula dilihat sebagai cara orang ramai menggunakan media sosial, iaitu bagi menggambarkan pelbagai bentuk kandungan media yang secara umumnya tersedia dan dicipta oleh pengguna akhir. Menurut Organisation for Economis Cooperation and Development (OECD,2007), UCG perlu memenuhi tiga keperluan asas iaitu yang pertama perlu diterbitkan sama ada di laman web yang boleh diakses awam atau di laman rangkaian sosial yang dicapai oleh kumpulan yang dipilih orang. Kedua, menunjukkan sejumlah usaha kreatif dan akhir sekali dihasilkan di luar rutin dan amalan profesional.
Media ini sentiasa berubah dan terdapat dalam pelbagai jenis. Pengklasifikasiannya boleh dilakukan berdasarkan satu set teori dalam penyelidikan media (kehadiran sosial dan kekayaan media) dan proses sosial (presentasi diri dan pendedahan diri).Teori kehadiran sosial menyatakan bahawa media yang berbeza membawa kadar atau darjah yang berlainan dalam sesuatu interaksi. Ini biasanya dipengaruhi oleh keakrabatan (intimacy) dan kedekatan (immediacy) sesuatu medium. Semakin tinggi kehadiran sosial, semakin besar pengaruh sosial rakan komunikasi terhadap perlakuan yang lain.
 Ini berkaitan juga dengan teori kekayaan media yang berdasarkan andaian bahawa matlamat apa-apa komunikasi ialah penyelesaian kepada ambiguity dan mengurangkan ketidakpastian. Teori ini menyatakan bahawa media berbeza dalam darjah kekayaan yang dimiliki iaitu jumlah maklumat yang dibenarkan untuk dipindahkan dalam tempoh tertentu dan oleh sebab itu, ada media yang lebih efektif berbanding yang lain dalam penyelesaian kekaburan dan ketidakpastian.
Jika dalam kehidupan seharian kita tidak boleh menyampaikan pendapat secara terbuka melalui media sosial. Kita boleh menulis apa saja yang kita mahu atau kita tidak mengulas apapun yang ditulis atau disediakan oleh orang lain. Ini bererti, komunikasi terjalin melalui dua arah. Komunikasi ini kemudian mencipta komuniti dengan cepat kerana adanya minat yang sama mengenai sesuatu perkara. Akan tetapi, segala penyebaran pendapat perlu menepati etika penggunaan media sosial yang betul.



SEJARAH DAN EVOLUSI MEDIA SOSIAL

            Media sosial merupakan satu landasan interaksi sosial yang melibatkan satu cabang komunikasi baharu yang terhasil daripada persekitaran komunikasi yang biasa.Lokus komunikasi menerusi media sosial adalah tidak terbatas. Fenomena ini telah mengubah cara perhubungan yang berbeza di dalam organisasi, komuniti dan individu itu sendiri untuk berinteraksi antara satu sama lain.
        Pendekatan komunikasi media sosial terdiri daripada beberapa kaedah termasuk forum di internet, blog sosial, micro-blogging, wikis, podcast, gambar, video, penilaian undian pengguna dan sosial bookmarking. Variasi pendekatan cabang media sosial ini membolehkan pengguna internet khususnya mempunyai pilihan yang banyak untuk berkomunikasi antara pengguna internet.Tambahan, media sosial mempunyai kuasa yang luar biasa bagi membantu syarikat khususnya membina penjenamaan produk menerusi rangkaian jaringan, komunikasi dan penstrukturan komuniti.
      Media sosial semakin penting dalam kehidupan masyarakat moden pada hari ini.Perkembangan pesat yang berlaku dalam teknologi komunikasi maklumat berjaya menjurus kepada penggunaan saluran Internet dengan lebih meluas dalam komunikasi seharian.
         Spesifiknya, dalam aspek penglibatan pengguna dalam berinteraksi melalui dalam talian (online interaction) menerusi media sosial seperti Facebook, Blog, Twitter, Friendster dan MySpace. Secara amnya, penglibatan dalam media sosial adalah satu fenomena baru yang dialami oleh masyarakat yang dilihat mempunyai implikasi terhadap proses komunikasi dan interaksi serta memberikan kepuasan terhadap diri mereka sendiri.
          Media sosial wujud pada tahun 1978 bermula dari penemuan sistem papan buletin yang dapat membolehkan kita untuk memuat naik atau memuat turun maklumat, boleh berkomunikasi dengan mengunakan surat elektronik yang mana internet bersambung dengan talian telefon dengan modem. Sistem papan buletin ini dijumpai oleh Ward Christensen dan Randy Suess di mana kedua-duanya merupakan pencinta dunia komputer. Perkembangan media sosial pertama kali dilakukan melalui penghantaran surat elektronik pertama oleh penyelidik ARPA (Advanced Research Project Agency) pada tahun 1971.

Berikut merupakan ringkasan evolusi media sosial dari tahun 1995 sehingga kini :





KEPENTINGAN DAN PERANAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN

Pembangunan teknologi telah memperlihatkan peningkatan terhadap penerimaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perniagaan masa kini. Kepentingan media sosial untuk tujuan kelangsungan perniagaan pada hari ini tidak dapat dinafikan lagi kerana ianya semakin diterima oleh kebanyakan organisasi dalam pelbagai industri sebagai salah satu medium dalam memasarkan perniagaan mereka.
Bermula dengan penerimaan Internet, ia mula terarah kepada medium yang lebih fokus dan bersifat persendirian iaitu teknologi emel. Kemudian melalui proses tranformasi media sosial dilihat semakin diterima untuk tujuan kelangsungan perniagaan. Kini, penerimaan media sosial dalam perniagaan dapat dilihat melalui medium seperti Facebook, Twitter, YouTube, Linkedln dan blog. Kemudian infrastruktur yang disediakan oleh pihak kerajaan Malaysia pada hari ini menghasilkan capaian kepada talian Internet yang lebih pantas, murah dan mudah.
Suatu ketika dahulu, Internet hanya boleh diakses melalui komputer persendirian, akan tetapi setelah melalui beberapa fasa inovasi teknologi, kini Internet boleh diakses oleh pengguna pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui pelbagai medium seperti komputer riba, komputer tablet mahupun telefon pintar. Hasil daripada perkembangan itu, akses terhadap laman media sosial juga semakin meningkat, bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia.
Jika dilihat bukan hanya para peniaga kecil sahaja yang menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka, malah terdapat juga syarikat-syarikat besar juga turut tidak ketinggalan untuk menggunakan media sosial bagi aktiviti pemasaran mereka. Sebagai contoh, ‘Small Medium Enterprise’ (SME) iaitu Perniagaan Kecil dan Sederhana yang turut menawarkan perkhidmatan penginapan menggunakan laman sosial seperti Tripadvisor, Facebook, Twitter dan Youtube dalam pemasaran mereka.
Pemasaran melalui media sosial merupakan salah satu cara pemasaran yang berkesan jika diaplikasikan dengan cara yang betul. Sebagai contoh terdapat banyak kelebihan dan juga kepentingan dalam menggunakan medium sosial sebagai medium pemasaran bagi aktiviti perniagaan mereka dan diantaranya adalah untuk meminimakan kos pengiklanan mereka. Kos pengiklanan mereka dapat diminimakan dengan menggunakan media sosial ini. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka dapat mengurangkan kos pengiklanan mereka jika dibandingkan dengan pemasaran lain selain media sosial.
Terdapat juga perusahaan dan perniagaan yang menggunakan media sosial untuk menyediakan ruangan khidmat pelanggan mereka. Dengan cara ini sahaja mereka boleh memberikan khidmat yang lebih cepat malah dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pembeli mereka yang sedia ada. Dengan itu secara tidak langsung media sosial ini memainkan peranan yang sangat penting dalam dunia perniagaan masa kini.
Kebanyakan peniaga mengakui bahawa dengan adanya media sosial ini, mereka dapat meningkatkan jualan produk mereka daripada perniagaan yang dijalankan. Jika dilihat di laman-laman sosial kini, terdapat banyak iklan dan tawaran yang muncul di laman-laman ini sekaligus ianya dapat digunakan sebagai satu jalan untuk menambahkan keuntungan dalam perniagaan mereka.
Pendek kata, media sosial memainkan peranan yang signifikan dalam proses pemasaran yang kemudiannya akan menampakkan peningkatan dari segi jumlah penjualan dan bertambahnya keuntungan dalam perniagaan mereka. Media sosial menjadi tempat pemasaran yang efektif kerana kemudahan internet itu sendiri yang kini manfaatnya boleh dinikmati oleh berbagai lapisan masyarakat.
Proses penyebaran informasi dan maklumat di media sosial adalah sangat mudah kerana peniaga hanya perlu membuat artikel, tulisan, gambar, video atau apa jua bentuk informasi lainnya dan meletakkannya di media sosial tertentu yang dapat dilihat oleh semua pengguna di internet.
Selain itu, dengan adanya sistem pemberitahuan atau notifikasi kepada pengguna media sosial, dapat memberitahu para pengguna bahawa terdapat ‘posting’ informasi terbaru daripada peniaga-peniaga tertentu. Dengan cara ini, mereka boleh mendapatkan informasi dengan pantas dan cepat.
Salah satu kelebihan terbesar yang datang bersama media sosial adalah keupayaan untuk berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan-pelanggan sedia ada termasuk sama ada yang baru mahupun yang lama. Media sosial membolehkan para peniaga untuk berhubung dengan pelanggan-pelanggan dalam perbualan masa sebenar, sama ada dalam bentuk aduan, pujian mahupun perkhidmatan.
Dengan adanya media sosial ini mampu menciptakan sebuah dimensi baru untuk pemasaran internet sehingga menjadi lebih efektif, efisien dan lebih produktif Jika kita mampu untuk mempertahankan dan mengembangkannya, ianya akan menjadi sebuah media internet pemasaran yang berkualiti dan lebih komprehensif dalam menarik pembeli yang berpontensi dan sangat berharga.
Secara keseluruhannya, dapat dilihat bahawa media sosial merupakan sebuah landasan internet yang sangat berguna terutama bagi mereka yang menginginkan pemasaran melalui media internet yang produktif tanpa mempunyai kos yang tinggi untuk dikeluarkan untuk pemasarannya. Teknik pemasaran media sosial diakui merupakan alat pemasaran terbesar dan dominan pada masa kini. Ia perlu menjadi pelan pemasaran yang paling efektif untuk semua pemilik perniagaan sama ada kecil mahupun besar.

PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN SECARA GLOBAL


Penggunaan media sosial dalam perniagaan kini telah berkembang dan menjadi perhatian terutama dalam industri yang melibatkan perdagangan, perniagaan, pelaburan, perbankan, dan sebagainya. Malaysia telah dikenal pasti sebagai sebuah negara yang berpotensi tinggi dan memiliki prospek yang baik untuk mengimplementasikan media sosial dalam perniagaan di Asia Tenggara. Media sosial dalam perniagaan juga dijangka menjadi model ikutan bagi negara yang sedang membangun khususnya dalam mengimplementasikan dan mempraktikkan kecanggihan media sosial serta merancakkan pertumbuhan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam masa yang akan datang.
Perniagaan melalui internet semakin berkembang seiring dengan perkembangan teknologi internet itu sendiri. Kini di seluruh dunia terdapat lebih dari satu billion pengguna internet. Ini bermakna terdapat seramai satu billion pelanggan atau pembeli yang bersedia melihat iklan dan produk yang anda niagakan melalui internet. Kaedaan ini menunjukkan betapa besarnya potensi dan peluang perniagaan melalui internet yang harus direbut oleh para peniaga. Malangnya peluang keemasan ini gagal direbut oleh kita dan menyebabkan kemudahan teknologi internet ini lebih banyak didominasikan oleh negara-negara barat sahaja. Ramai usahawan internet dari seluruh dunia telah berjaya memperolehi jutaan dollar dengan menjalankan perniagaan melalui internet. Sesetengah peniaga internet hanya menjual satu jenis produk sahaja tetapi berjaya membuat ribuan jualan dengan pedapatan berjumlah jutaan dollar setahun.

Kemajuan teknologi dalam beberapa dekad yang lalu telah banyak meningkatkan daya saing dalam perniagaan dan ekonomi di seluruh dunia. Kebanyakan syarikat telah menggunakan perisian, komputer dan internet untuk meluaskan perniagaan mereka dari pasaran tempatan ke pasaran nasional dan seterusnya ke peringkat lebih global. 

TAHAP PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN DI MALAYSIA



Penggunaan media sosial dalam perniagaan di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah dan di peringkat awal perkembangan (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia [SKMM]) sedangkan kebanyakan negara lain telah mula menggunakan dan mengamalkan media sosial dalam urusan kerja dan kehidupan seharian. Walaupun ia tidak begitu tinggi, penggunaan media sosial dalam perniagaan di Malaysia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan saban tahun.


Sumber : Artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Malaysians Spends Five Hours Online Daily, And Its Mostly On Social Media, Says Report" penulisan Musliza Mustafa bertarikh11 Sept 2014) 


Menurut Laporan Prestasi Industri 2013 yang diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terdapat 19.2 juta pengguna internet di Malaysia, dan 15.6 juta daripada mereka aktif dalam Facebook. Rakyat Malaysia menggunakan purata lima jam sehari melayari internet, dan tiga daripada lima jam itu digunakan untuk media sosial.
Berikut beberapa angka menarik daripada laporan itu :

  •   Jumlah  pengguna internet di Malaysia : 19,200,408 orang
  •   Terdapat 15,600,000 : pengguna Facebook yang aktif di Malaysia
  •   Purata masa pengguna internet setiap hari : 5 jam 36 minit
  •   Purata masa digunakan untuk media sosial : 3 jam 17 minit
  •   Peratus pengguna media sosial daripada jumlah populasi di Malaysia : 64%



    CABARAN DAN HALANGAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DI MALAYSIA

    1.Kesahihan Maklumat


    Maklumat yang tepat dan sahih penting bagi memastikan tidak akan berlakunya pemalsuan fakta. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, para pengguna internet berpendapat bahawa semua maklumat yang diterima harus dipastikan dahulu kebenarannya. Hal ini berikutan kerana banyak maklumat yang dipaparkan di dalam media sosial tidak benar dan hanya untuk tujuan publisiti sahaja. Selain itu, ada antara maklumat yang disampaikan oleh seseorang individu itu hanya bertujuan untuk menyesatkan orang lain. Pengguna media sosial menyatakan bahawa kebanyakan aktiviti, misalnya amalan sesat disebarkan melalui media sosial. Perkara ini kebiasaannya mudah mempengaruhi golongan belia kerana kurangnya pendedahan kepada ilmu yang berkaitan dengan keagamaan. Ianya secara tidak langsung memberikan cabaran yang amat besar dalam proses penyebaran maklumat melalui media sosial ini.


    2.Pelayaran Web Negatif

    Golongan belia gemar dan minat untuk melayari laman-laman web yang berunsur negatif. Hal ini memberikan cabaran yang amat besar terutama sekali kepada pihak kerajaan kerana golongan belia merupakan golongan yang akan mewarisi dan mengambil alih pembangunan negara. Pelayaran web negatif ini akan merencatkan perkembangan minda dan fizikal belia. Golongan belia sering terjebak dan dipengaruhi rakan sebaya mereka untuk menonton video-video atau gambar lucah yang banyak tersebar di laman web. Apabila menonton atau melihat web yang berunsur negatif ini, golongan belia akan terpengaruh dan secara tidak langsung akan mengadaptasikannya ke alam realiti. Oleh itu, gejala sosial seperti merogol dan meragut semakin giat berlaku. Tambahan lagi, ketaksuban terhadap laman web negatif ini akan menyebabkan kejatuhan akhlak, keruntuhan maruah, nilai keprihatinan dan lebih terdorong kepada jenayah seksualiti. Laman web lucah yang mudah diakses oleh semua golongan terutamanya golongan remaja dan belia. Dengan itu, hal ini merupakan salah satu cabaran dalam media sosial kini.

    3.Penyebaran Fitnah dan Gosip Terhadap Sesuatu Barangan Dan Perkhidmatan

    Melalui media sosial, fitnah dan gosip bertebaran meluas tanpa sempadan. Perkara ini menjadikan sukar untuk negara menghasilkan golongan belia yang proaktif.Responden turut menyatakan bahawa media sosial banyak digunakan sebagai satu medium untuk menyebarkan fitnah dan gosip berkenaan negara dan sebagainya.Kebanyakan belia mudah terpengaruh dengan perkara seperti ini. Misalnya seperti fitnah berkenaan dengan penggunaan produk-produk yang tidak halal dan sebagainya dan ianya secara tidak langsung akan memberikan kesan terhadap permintaan barangan tersebut di pasaran. 

    4.Aktiviti Perjudian

    Aktiviti perjudian ini sangat mudah untuk mempengaruhi golongan belia. Berdasarkan temu bual, golongan belia gemar mengunjungi pusat-pusat Internet yang menyediakan pelbagai perkhidmatan penggunaan Internet. Namun begitu, ada antara pusat Internet yang menyalahgunakan premis mereka dengan menawarkan pusat perjudian kepada pengunjung. Permainan video yang beasaskan judi banyak disediakan dan perkara ini menarik minat remaja dan belia untuk menggunakan perkhidmatan tersebut. Perkara ini sedikit sebanyak memberi cabaran kepada golongan belia kerana sudah terang- terangan lagi judi adalah suatu perbuatan yang salah dan haram. Perkara ini memberikan cabaran kepada pemimpin negara dalam mentadbir negara serta membanteras gejala judi dalam kalangan belia.

    5.Perubahan Gaya Hidup

    Perubahan gaya hidup ketimuran masyarakat telah banyak berubah ditelan arus pemodenan. Perubahan gaya seperti cara pemakaian, makanan, minuman, tingkah laku dan hiburan yang berunsur Barat telah banyak mempengaruhi aspek- aspek ketimuran masyarakat Malaysia yang dipegang. Sesetengah pihak berpendapat media sosial telah membuatkan remaja melupakan asal usul keturunan mereka. Misalnya cara mereka menulis. Golongan belia kini sering menggunakan perkataan atau bahasa yang direka oleh mereka sendiri seperti perkataan “bocan” menggantikan perkataan bosan dan lain-lain lagi. Di samping itu, golongan belia juga menggunakan media sosial sebagai alat untuk mereka berkomunikasi dan mencari rakan baru di laman-laman web sosial yang ada seperti Facebook, Twitter dan MySpace. Hal ini membuatkan golongan remaja kurang berinteraksi dengan masyarakat dan lebih suka bersendiri. Malahan ada di antaranya yang terpengaruh sehingga membuatkan mereka terlibat dengan gejala tidak sihat seperti menjadi mangsa keldai dadah. Justeru itu, perkara ini menjadi suatu cabaran untuk mewujudkan kesedaran sosial dalam kalangan remaja.



    FAKTOR_FAKTOR PENDORONG PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

                      Dalam konteks media sosial, dapat disimpulkan bahawa faktor yang membawa kepada mudah guna ini bermakna individu tidak memerlukan banyak usaha sama ada dari segi masa dan tenaga dalam mempelajari penggunaan media sosial. Faktor kemanfaatan (Perceived usefulness) Kemanfaatan merujuk kepada sejauh mana individu itu percaya bahawa menggunakan suatu sistem tertentu akan meningkatkan prestasi kerja orang tersebut. Berdasarkan definisi tersebut, dimensi kemanfaatan dapat dilihat dari segi meningkatkan produktiviti dan menjadikan kerja lebih efektif.

                Rangkaian antara peribadi dan sosial (Interpersonal and social networks) Rangkaian antara peribadi dan sosial merujuk kepada penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi, sosialisasi atau pergaulan antara ahli keluarga, saudara mara, kawan rapat dan rakan sekolah/universiti, tokoh terkenal, ahli politik atau selebriti. Kaitan (Relavance) Kaitan ditakrifkan sebagai sejauh mana penggunaan media sosial berkorelasi dengan kehidupan penggunanya sama ada dalam lingkungan kerja, keluarga, sekolah mahupun masyarakat (Ali 2012).

               1.Media Sebagai Sumber Maklumat

    Media dianggap sebagai sumber maklumat utama bagi masyarakat Malaysia hari ini. Lebih 80% pelajar sekolah rendah menggunakan media dalam proses pembelajaran mereka. Manakala 60% orang dewasa menggunakan media sebagai cara untuk memilih pemimpin. Oleh yang demikian, media juga merupakan sumber maklumat yang paling percayai oleh masyarakat. Terdapat beberapa faktor yang mendorong masyarakat menggunakan media dalam kehidupan seharian mereka. Faktor yang utama ialah media mampu memperkayakan lagi idea masyarakat terhadap sesuatu perkara. la juga memperagakan sesuatu keadaan secara lebih simbolik yang akhirnya berupaya menarik sensitiviti masyarakat. Ibu bapa pula menjadikan program-program di televisyen sebagai satu cara untuk melatih anak-anak mereka ke arah yang lebih dinamik dan pragmatik. Contohnya menerusi rancangan "Along", ia akan dapat melatih kanak-kanak untuk lebih berminat mempelajari kaedah untuk mengira, menulis dan  juga membaca (3M).

    2. Media Sebagai Bahan Rujukan

    Seseorang pengguna media tidak teragak-agak untuk cuba menerima maklumat daripada media sebagai budaya dalam kehidupan seharian. Masyarakat menggunakan mesej-mesej yang diperoleh daripada media untuk dijadikan sebagai asas dalam usaha untuk memaiukan diri di masa-masa akan datang. Oleh itu, tidak hairanlah kenapa media sering dianggap sebagai bahan rujukan dalam masyarakat. Bagi masyarakat di Malaysia, contohnya apabila tiba musim pilihanraya, seseorang individu atau kumpulan tertentu akan bergantung sepenuhnya kepada media sebelum sebarang keputusan dibuat. Maklumat-maklumat yang disebarkan oleh media mampu mendorong seseorang untuk bersikap natural atau tidak menyokong mana-mana pihak dan sebaliknya. Ketika negara menghadapi masalah kegawatan ekonomi, masyarakat mendapatkan maklumat terkini mengenai hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi negara menerusi media sosial. Dengan hal yang demikian, tidak hairan jika media sosial sering kali dijadikan sebagai sumber rujukan.


    3. Media Sebagai Agen Pembentukan Kemahiran

    Tidak semua program-program di media sosial menjurus ke arah hiburan semata-mata. Ada di antara program-program tersebut yang memberi faedah secara langsung kepada masyarakat. Menerusi rancangan-rancangan sebegini, masyarakat akan lebih terdedah kepada maklumat terkini mengenai sains, teknologi, dan sebagainya. Pertemuan-pertemuan terbaru dalam dunia sains juga tidak ketinggalan walaupun ianya merupakan rancangan yang diimport dari luar negara.



    KESIMPULAN


    Teknologi pada hari ini memperlihatkan media sosial boleh diakses  dengan mudah dengan adanya jaringan internet yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Perkembangan ini telah mempengaruhi keinginan para peniaga untuk menggunakan media sosial sebagai medium bagi tujuan mengembangkan lagi perniagaan mereka. Melalui ciri-ciri teknologi seperti mudah diguna, mempunyai kelebihan secara relatif dan mempunyai keserasian, perniagaan secara atas talian kini dilihat lebih agresif dalam menjalankan aktiviti pemasaran secara menyeluruh dan seterusnya dapat menyumbang kepada pertumbuhan industri perniagaan yang ada di Malaysia kini. 

    KERATAN AKHBAR MENGENAI PERNIAGAAN DI MEDIA SOSIAL




    Sumber :  http://azmanbiznd.blogspot.my/



    Sumber : http://citarasawan.blogspot.my/




    Sumber : http://www.mykeledek.com/